Sunday, November 15, 2009

KEPIMPINAN LAISSEZ-FAIRE NIK AZIZ

Dari segi teori, terdapat beberapa bentuk kepimpinan. Umumnya, ia boleh diklasifikasikan kepada empat bentuk utama iaitu autocratic, bureaucratic, democratic, dan laissez-faire. Kepimpinan "laissez-faire" juga dikenali sebagai "hands-off" di mana kuasa membuat keputusan diserahkan kepada pegawai bawahan. Pemimpin hanya memberikan arahan umum saja.

Kepimpinan "laissez-faire" berfungsi dengan baik sekiranya pegawai bawahan mempunyai kemahiran serta memikul tanggungjawab itu dengan penuh amanah. Saya cuba mentafsirkan bentuk kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Aziz Nik Mat berdasarkan beberapa kenyataan beliau yang disiarkan dalam media massa. Sebagai contoh, Nik Aziz berkata:
"Orang nak bawa saya pergi Mekah, kenapa saya nak tolak. Saya pergi ke Mekah ni jarang belanja saya sendiri. Orang tolong bayar. Semua orang berebut (nak bawa ke Mekah)."
Bukan setakat itu, malah beliau menggelarkan orang yang mempersoalkan pihak yang menaja beliau ke Mekah sebagai "Quraisy Malaysia". Katanya:
"Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Quraisy Malaysia."
Membaca kenyataan ini, saya cenderung untuk mengatakan Nik Aziz tidak tahu siapakah yang mengatur dan membiayai pemergiannya ke Mekah (Blogger Rocky's Bru memberitahu siapakah penajanya: Sila klik di sini dan Kickdefella pula menceritakan lebih lanjut mengenai insiden tersebut: Sila klik di sini).

Sekiranya betul telahan saya itu, adakah ini bermaksud beliau mengamalkan kepimpinan "laissez-faire" dengan membiarkan pegawai di sekeliling membuat semua keputusan?

Adakah ini bermaksud Nik Aziz juga menjadi seperti sebahagian pemimpin-pemimpin politik Malaysia lainnya yang memberikan terlalu banyak kuasa kepada pegawai di sekeliling mereka sehingga pegawai-pegawai tersebut menjadi seperti "kaduk naik junjung" dan "sokong membawa rebah"?

Thursday, November 12, 2009

MAKMAL 1MALAYSIA KOH TSU KOON

Malaysia Airlines menggunakan konsep makmal bagi "memperbaiki" syarikat penerbangan nasional itu. Di Jabatan Perdana Menteri, konsep yang sama digunakan. Dengan fasilitator perunding swasta, seramai 40 orang kakitangan sektor awam, perniagaan dan NGO terpilih diletakkan di dalam satu makmal bagi membangunkan beberapa pelan tindakan 1Malaysia.

Di makmal itu, lahirlah beberapa "idea besar" atau "big idea" yang bakal membuatkan pemimpin politik Melayu menggaru kepala. Saya difahamkan "idea" besar yang dihasilkan oleh 40 orang itu lebih bersifat "Malaysian Malaysia", bukannya 1Malaysia seperti yang dijanjikan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak.

Saya tak tahu sama ada itu benar atau pun tidak. Bagaimanapun, itulah sembang di kedai kopi. Selalunya kalau tak 100% benar, sembang di kedai kopi ni ada sedikit-sebanyak kebenarannya.

Dalam hal ini, saya fikir eloklah Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjenguk makmal 1Malaysia yang diuruskan oleh Tan Sri Koh Tsu Koon itu.

Kebimbangan saya ialah "idea besar" yang dicipta di makmal 1Malaysia itu tidak lebih dari idea manusia berjiwa kecil dengan agenda politik yang juga kecil. Sekarang saya mula faham mengapakah Ahli Parlimen Sri Gading, Dato' Mohamad Aziz inginkan Koh Tsu Koon meletakkan jawatan.

Bukan semua perkara boleh dilahirkan di makmal. Saya percaya "idea besar" 1Malaysia boleh diperolehi melalui satu konvensyen rakyat Malaysia yang lebih besar dari hanya makmal 40 orang yang dipilih. Kalau nak dapatkan idea, itu caranya.

Najib juga boleh menggunakan media sosial untuk mendapatkan cadangan rakyat.

Ahirnya, saya berharap agar Koh Tsu Koon tidak menggunakan keterbukaan Najib dan makmal 1Malaysia untuk mengejar agenda politiknya.

Usah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran!

Wednesday, November 11, 2009

REFERENDUM PERJUANGAN ISLAM PKR

Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan pilihanraya kecil diadakan. Pengundi di situ memberikan kemenangan yang besar kepada suami beliau, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin secara sukarela meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti. Bekas Setiausaha Politik Anwar, Dr Mansor Othman dipilih sebagai ADUN Penanti sekaligus mengambil jawatan Fairus dalam kerajaan negeri.

Di Bukit Selambau, wakil rakyat PKR V Arumugam meletakkan jawatan sebagai ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Kedah. Pilihanraya kecil diadakan. Akhirnya, S Manikumar mengekalkan kerusi itu di tangan PKR.

Di Selangor, penyokong-penyokong PKR mendesak ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang mengisytiharkan keluar parti itu meletakkan jawatan.

Itulah demokrasi ala Malaysia. Di kalangan PKR, perletakkan jawatan Ahli Parlimen dan ADUN adalah perkara biasa. Pilihanraya kecil juga adalah perkara biasa.

Atas alasan itulah saya fikir Ahli Parlimen Subang R Sivarasa patut menyahut cabaran Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru untuk meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan bertanding dengannya secara "satu lawan satu."

Puncanya, Zulkifli dikritik oleh Sivarasa (dan beberapa orang pemimpin PKR lainnya) sebagai tidak berpegang kepada idealisme perjuangan PKR. Kata Sivarasa, amaran Anwar di Pulau Pinang untuk pemimpin PKR ditujukan kepada Zulkifli. Sesetengah pemimpin PKR ternyata tidak senang dengan pendirian Zulkifli dalam isu-isu membabitkan Islam.

Kata Zulkifli, "Serahkan kepada ahli PKR untuk melaksanakan hak demokrasi mereka untuk memutuskan sama ada ianya dasar parti ini untuk mempertahankan hak Islam dan orang Islam atau sebaliknya."

Lapor Malaysiakini, Zulkifli berkata beliau sanggup keluar parti jika kalah kepada Sivarasa dalam pertandingan jawatan Naib Presiden. Katanya, beliau sanggup berbuat demikian kerana tidak mahu bersekongkol dengan parti yang tidak mempertahan dan tidak berjuang untuk menegakkan Islam dan hak umat Islam.

Sekiranya Sivarasa menyahut cabaran Zulkifli, ia akan memberikan peluang kepada perwakilan PKR untuk membuat penentuan mengenai sikap parti itu terhadap isu-isu Islam yang dibawa oleh Zulkifli. Ia sekaligus boleh menjawab tuduhan bahawa PKR tidak meletakkan Islam sebagai asas perjuangan -- sama seperti tuduhan Dato' Nik Aziz Nik Mat kepada UMNO.

Inilah peluang kepada PKR yang selalu bercakap mengenai mengembalikan hak membuat keputusan kepada rakyat untuk memberikan peluang kepada ahli-ahlinya melalui referendum mengenai sikap parti itu terhadap perjuangan Islam.

Bagaimana Sivarasa?

Tuesday, November 10, 2009

PENGAJARAN DARI DRAMA MCA

Pertama - Usah terlalu yakin dengan sokongan orang bawah. Dato' Seri Ong Tee Keat dan Dato' Seri Chua Soi Lek percaya ahli-ahli MCA akan memihak kepada mereka. Sebab itulah mereka memanggil mesyuarat khas. Akhirnya, lebih separuh perwakilan memberikan undi tak percaya kepada Ong, manakala Chua hanya disahkan sebagai ahli biasa bukannya Timbalan Presiden parti.

Kedua - Musuh politik akan bersatu apabila kedudukan mereka terancam. Bukan rahsia, Ong dan Chua adalah seteru politik. Macam anjing dan kucing. Masing-masing cuba menyingkirkan antara satu sama lain. Bagaimanapun apabila mereka merasakan Dato ' Seri Liow Tiong Lai mengancam kedudukan mereka, Ong dan Chua bersatu.

Ketiga - Usah tunjukkan tembelang politik secara berlebihan. Apabila dilantik sebagai Timbalan Presiden, Liow menunjukkan tembelang dengan mendesak satu lagi mesyuarat khas. Tujuannya ialah untuk menyisihkan Ong. Akhirnya Ong dan Chua berpakat, menjadikan Liow tersepit. Liow harus mencari jalan keluar yang boleh memuaskan hati penyokong-penyokongnya.

Itulah drama MCA. Dalam drama pun banyak pengajaran!

Monday, November 9, 2009

BAJU MERAH, KOMUNIKASI PAS & MEDIA SOSIAL

Akhirnya "baju merah" tewas kepada "baju kuning". Kelantan terpaksa akur bahawa Piala Malaysia tahun ini adalah milik Negeri Sembilan. Sokongan yang melaut (termasuklah dari penulis blog ini), gagal memenangkan Kelantan. Begitulah adat dunia. Ada masa menang, ada masa kalah.

Menteri Besar Kelantan Dato' Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, "Masa kita menang tak timbul pula sebarang masalah, takkanlah kita nak menang selama-lamanya, matahari pun ada naik dan jatuh!"

Mungkin, kalau Nik Aziz menyampaikan tazkirah sedemikian sebelum pertandingan bermula, tidak adalah penyokong Kelantan yang membakar kerusi dan kain rentang dalam Stadium Nasional Bukit Jalil. Kenyataan sedemikian yang dibuat selepas pertandingan tidak dapat meredakan kemarahan penyokong "baju merah" pada malam itu.

Begitu jugalah dalam politik -- masa adalah penting.

Suatu waktu dulu, segala-galanya berjalan lambat. Hari ini, keadaan bergerak pantas. Kehadiran
media sosial menjadikan sebahagian ahli politik seolah-olah tergamam dan tidak mampu bertindak dengan betul. Cakap salah, tak cakap salah. Apa saja yang diucapkan atau dilakukan oleh orang politik, pasti akan disanggah oleh rakyat melalui media sosial.

Media sosial menjadi cukup popular. Malah, media sosial kini mengambilalih pornografi sebagai aktiviti paling popular di internet. Facebook, sebagai contoh, menjadi kegilaan pelbagai pihak. Sekiranya Facebook ialah sebuah negara, ia adalah merupakan negara keempat terbesar di dunia -- di belakang China, India dan Amerika Syarikat. Selepas "negara" Facebook, barulah Indonesia dan Brazil.

Ada orang kata media sosial paling popular di kalangan anak muda. Sekiranya ingin mencapai (reach out) Generasi X, Y dan Z, gunakanlah saluran media sosial. Betul. Bagaimanapun, kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kumpulan umur paling pantas berkembang (dalam konteks penggunaan media sosial) ialah wanita antara 55 hingga 65 tahun.

Begitulah hebatnya media sosial.

Pun begitu ada yang berkata media sosial hanyalah satu "fad" atau tren semasa. Saya tidak fikir begitu. Media sosial adalah satu perubahan kepada cara masyarakat berkomunikasi. Kunci kata di sini ialah "pantas". Radio mengambil masa 50 tahun untuk mencapai 50 juta pendengar, TV selama 30 tahun untuk mencapai jumlah penonton yang sama. Bagaimanapun, internet hanya mengambil masa empat tahun saja!

Disebabkan kepantasan itulah agaknya, maka ahli politik seolah-olah masih mencari kaedah bagaimana cara menghadapi rakyat secara efektif. Perkembangan internet (dan media sosial) telah mendatarkan hubungan antara pemimpin dan rakyat (menggunakan istilah Thomas Friedman dalam bukunya, "The World is Flat").

Dalam Facebook, seorang menteri dan mahasiswa universiti adalah sama taraf. Apa yang membezakan mereka ialah maklumat dan kekuatan hujah. Sebab itulah agaknya tidak ramai menteri dan timbalan menteri yang berada di Facebook atau media sosial. Saya belum melihat ada seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri yang melakukan "engagement" secara bermakna menggunakan media sosial. Dalam media sosial ini, mereka tidak dilindungi atau dinaungi. Tidak semua pemimpin politik yang ingin selalu kelihatan popular mahu mendedahkan dirinya sebegitu.

Apa yang berlaku dalam PAS pada hari ini ialah fenomena media sosial. Ia adalah hal yang serupa sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan itu. Dulu, cakap "ulamak" yang berkecimpung dalam politik diterima tanpa soal. Dulu, kata-kata ini dianggap sebagai "fatwa" yang tidak boleh dicabar. Hari ini, mereka tidak lagi boleh berbuat begitu.

Ini bukan bermaksud tidak ada orang yang menyokong apa yang mereka cakap. Apa yang berlaku ialah golongan yang menentang telah bersuara. Mereka bukan lagi bercakap di kedai-kedai kopi dengan hanya beberapa orang pendengar, tetapi kepada khalayak yang lebih besar.

Nik Aziz tidak lagi boleh membuat kenyataan dan mengharapkan semua orang menyokongnya. Beliau bukan saja ditentang oleh penyokong parti lawan, tetapi juga oleh ahli partinya sendiri. Kenyataan Dato' Hassan Ali bahawa "Tuan Guru bukan Tuhan" dibuat dalam satu majlis parti itu. Bagaimanapun, seorang anggota PAS melaporkan kenyataan itu dalam media sosial dan sekarang ia sudah menjadi rahsia terbuka.

Pertentangan tokoh-tokoh PAS sewaktu Muktamar PAS baru-baru ini adalah dilaporkan oleh ahli-ahli PAS sendiri.
Istilah "Erdogan" juga dipopularkan oleh mereka. Begitu juga perbincangan dalam beberapa mesyuarat PAS dibocorkan oleh bloggers atau pengamal media baru yang mempunyai akses kepada mesyuarat tersebut.

Hari ini, beberapa orang bloggers penyokong PAS jauh lebih popular dari Tuan Haji Mohamad Sabu. Sekiranya "Abang Mat" berceramah kepada 1,000 orang pendengar, tulisan bloggers ini dibaca oleh khalayak yang jauh lebih besar.

Begitulah impak media sosial kepada PAS (saya akan menulis mengenai parti-parti politik lain dalam tulisan selanjutnya). PAS sedar perkara ini. Atas sebab itulah maka Ketua Penerangan PAS, Saudara Idris Ahmad memberitahu parti itu akan mengadakan konvensyen untuk "blogger yang mempunyai nombor keahlian PAS". Tujuannya ialah untuk mendidik blogger tersebut agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan masalah kepada parti itu.

Saya fikir itu adalah satu inisiatif yang baik. Bagaimanapun itu tidak akan menyelesaikan masalah dalam PAS. Selain pengamal media baru di kalangan ahli-ahli PAS, ramai lagi individu yang tidak berparti yang membicarakan soal PAS (dan lain-lain parti politik). Mereka mendapat "suara" melalui media sosial.

Kajian yang dilakukan menunjukkan 78% pengguna media sosial mempercayai (trust) sokongan (recommendation) rakan sebaya. Hanya 14% sahaja yang mempercayai iklan. Maksudnya, percakapan seseorang melalui media sosial memberikan impak yang besar kepada anggota masyarakat yang lain. Sebahagian besar mereka yang membicarakan isu-isu parti itu bukanlah ahli PAS.

Dalam hal ini, apa yang perlu dilakukan ialah pemimpin PAS sendiri hendaklah berubah. Sekarang zaman Politik 2.0 di mana rakyat mengharapkan pemimpin politik berinteraksi dengan rakyat. Komentar dan "sound bites" yang efektif dalam Politik 1.0 sudah tidak boleh digunakan lagi.

Persoalannya ialah adakah pemimpin PAS sedia untuk berubah cara mereka berkomunikasi? Sanggupkah mereka meninggalkan seketika gelaran "ulamak", "tok guru" dan "orang agama" dan berinteraksi dengan rakyat sebagai individu dengan individu -- sekaligus menurunkan taraf mereka ke taraf biasa?

Selama mana mereka berinteraksi satu hala dari atas ke bawah, saya fikir selama itulah rakyat akan memprotes. Inilah juga protes yang dibuat kepada sesetengah pemimpin-pemimpin UMNO yang bercakap dengan mendongak kepala ke atas!

Kritikan terhadap parti itu akan berterusan dari semasa ke semasa. Malah, rakyat yang marah kerana pandangan mereka tidak didengari mungkin akan mengambil tindakan yang lebih drastik.

PRU13 hanya tinggal tiga tahun lagi. Itu pun paling lama. Ada yang meramalkan ia akan diadakan pada tahun 2011. Mampukah PAS belajar dari kritikan terhadap UMNO dan melakukan perubahan dalam tempoh sesingkat itu?

Friday, November 6, 2009

MUHASABAH UNTUK PAS

Esok -- Sabtu -- PAS akan mengadakan seminar bagi membincangkan isu-isu kepimpinan dan hala tuju parti itu. Ia adalah jawapan PAS kepada desakan Dato' Nik Aziz Nik Mat yang inginkan mesyuarat agung khas diadakan. Sama seperti MCA, parti tu berpendapat mesyuarat agung khas itu tidak perlu; sekurang-kurangnya pada masa ini.

Adakah seminar itu akan "meletup" atau sejuk seperti salji di kutub utara, saya tak pasti. PAS mengundang dua orang pembentang kertas kerja iaitu Prof Dr Abd Aziz Bari (UIA) dan Prof Madya Dr Abu Hasan Hasbullah (UM). Kedua-dua pensyarah ini diharapkan untuk menyampaikan tazkirah dan muhasabah untuk pemimpin dan ahli-ahli PAS.

Tokoh PAS tidak membentangkan kertas kerja. Pada hemat saya, ia adalah sesuatu yang bagus; menunjukkan kesediaan parti itu untuk menerima pandangan dari luar. Lagi pun pemimpin PAS sudah selalu berceramah, sesekali eloklah mendengar pandangan orang lain pula. Bukan sekadar itu, malah saya berpendapat jemputan kepada Dr Abd Aziz yang mengkritik Presiden PAS, Dato' Seri Abd Hadi Awang dalam akhbar Sinar Harian menunjukkan bahawa parti itu mengalu-alukan teguran. Ia baik dan harus dipuji.

Sewajarnya semua pemimpin dan ahli-ahli PAS dapat mencontohi sikap Abd Hadi. Sesuai dengan semangat keterbukaan ini juga, saya berharap pemimpin dan ahli-ahli PAS usah cepat panas telinga apabila dikritik -- sama ada secara bersemuka atau melalui tulisan di media baru.

PAS kini bukan lagi parti pembangkang. Di Kelantan, Kedah dan Selangor, pemimpin PAS memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri. Jawatan itu adalah jawatan awam (public office). Apa saja keputusan pemimpin PAS di negeri-negeri tersebut akan memberikan kesan kepada rakyat -- sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Saya boleh memahami mengapakah penyokong-penyokong PAS cukup ghairah menegur pemimpin parti itu. Di Selangor, Pesuruhjaya PAS Dato' Dr Hassan Ali dikritik kiri dan kanan. Dato' Paduka Husam Musa juga menjadi sasaran kritik ramai orang. Dalam blog, penyokong kedua-dua belah pihak berbalas-balas hujah. Baguslah, mereka amat sayangkan jawatan kepimpinan dalam kerajaan dan tidak mahu jawatan itu terlepas ke tangan orang lain. Tidak mustahil sekiranya parti itu tidak berhati-hati, mereka mungkin tidak ada apa-apa jawatan di Selangor selepas PRU13 nanti -- sama ada kehilangan kerajaan negeri kepada Barisan Nasional, atau kerajaan negeri dikuasai oleh PKR dan DAP saja seperti yang berlaku di Pulau Pinang. Tak mustahil.

Dalam era "Politik 2.0", pemimpin PAS yang kena kritik usah melompat. Pemimpin parti politik meraih sokongan rakyat. Mereka meminta jawatan awam. Tentulah rakyat wajar menegur, termasuklah mendedahkan kelemahan pemimpin parti itu yang meminta amanah kepimpinan mentadbir negara. Sesiapa saja yang meminta jawatan awam, mesti bersedia menunjukkan "panau dan kurap" supaya rakyat boleh menilai adakah mereka layak memegang amanah itu atau tidak.

PAS juga tidak terkecuali!

Wednesday, November 4, 2009

APABILA PEMIMPIN KELANTAN SEPAKAT


Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata 60,000 orang penyokong pasukan bola sepak negeri itu akan berada di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi melihat pasukan Kelantan menentang Negeri Sembilan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato' Ahmad Yakob mengisytiharkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa bagi negeri Kelantan sebagai meraikan kejayaan pasukan bola sepak negeri itu melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Beliau berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat exco hari ini.

Dengan sokongan pemimpin kedua-dua buah parti politik yang saling bersaing di negeri itu, apakah alasan lagi untuk Kelantan tidak mampu membenamkan Negeri Sembilan pada Sabtu ini?

ISU DR ASRI : ANTARA YANG KELIRU & YANG CELARU

Kita sambung sedikit lagi ulasan mengenai isu penangkapan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ulasan sebelumnya boleh dibaca di sini.

Ada beberapa perkara yang keliru dan celaru yang perlu dijelaskan.

Pertama, soal pentauliahan mengajar. Ini soal pentadbiran agama Islam. Saya berpendapat tidak ada salahnya pentauliahan ini. Ia bertujuan menguruskan agama dengan lebih teratur. Ah, ada orang berhujah pada zaman Rasulullah s.a.w. tak ada pun tauliah. Betul, dan pada zaman Rasulullah s.a.w. pun tak ada pendaftaran nikah kahwin -- sesuatu yang kita terima hari ini. Dari segi hukum, sah perkahwinan rakyat Malaysia di belakang kedai di Danok, atau atas tongkang di Yala. Tujuan pendaftaran nikah kahwin ialah supaya kita mempunyai rekod sesebuah perkahwinan. Oleh itu, soal pendaftaran anak dan tuntutan (sekiranya berbangkit) boleh diselesaikan dengan mudah. Bukan semua yang tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak boleh dilaksanakan pada hari ini.

Begitu jugalah dengan pentauliahan ini. Pemerintah bertanggungjawab mewujudkan satu urusan yang teratur dan dalam konteks inilah ia dilaksanakan. Saya tidak mempertikaikan soal itu. Bagaimanapun, dalam perlaksanaannya mungkin ada kelemahan. Mungkin ia merupakan proses, prosedur atau kelayakan. Malah, takrifan "mengajar" itu juga perlu dimantapkan lagi sesuai dengan perkembangan semasa. Dalam konteks ini, saya fikir ia perlu dikemaskinikan. Publik bolehlah memberikan maklumbalas kepada kerajaan negeri.

Dalam isu penahanan Dr Asri, saya tidak bercakap soal pentauliahan. Tidak ada sesiapa yang kebal di sisi undang-undang. Apa yang saya bangkitkan ialah bagaimana ia dilakukan. Saya fikir ada kaedah lain yang lebih berhemah untuk menguatkuasakan peraturan itu. Bukan sahaja dalam isu ini, malah dalam hal-hal lain saya berpendapat cara kita menguatkuasakan undang-undang harus dilihat semula. Dari segi prinsipnya, seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi ia tidak dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah. Oleh itu, dalam proses menguatkuasakan undang-undang, seseorang tidak harus diaibkan. Apa yang berlaku menyebabkan masyarakat Islam menjadi keliru.

Kedua, saya gagal memahami mengapakah seorang pegawai berpangkat rendah (Gred 41) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) turut "tumpang tui" mempertikaikan ijazah Dr Asri. Apa kaitannya ILIM dengan pengiktirafan ijazah? Dan, apa kaitannya Penolong Pengarah ILIM, Zamihan Mat Zain Al Ghari dengan urusan kelayakan akademik bekas Mufti Perlis itu? Sekiranya JAKIM perlu masuk campur dalam isu ini, kenyataan sedemikian sepatutnya dibuat oleh Ketua Pengarah JAKIM, Pengarah atau mana-mana kakitangan kanan. Kenyataan pegawai rendah ini hanya menyebabkan isu ini menjadi lebih celaru.

Dan ketiga, saya melihat "perang mulut" antara Dr Asri dan bekas Yang Dipertua YADIM Dato' Nakhaie Haji Ahmad. Apabila dua "orang agama" berbalah dalam media massa, rakyat menjadi keliru dan celaru. Saya tidak mengatakan apa saja isu yang berbangkit antara mereka harus disapu ke bawah karpet. Apa yang saya maksudkan ialah ia harus dikendalikan dengan cara lain yang lebih wajar. Susah sangatkah untuk Dr Asri dan Nakhaie untuk bersemuka dan berbincang apa saja isu antara mereka -- sekiranya ada?

Ini mengingatkan saya mengenai kisah dua orang "pakar motivasi" yang berjiran. Kedua-duanya -- ketika itu -- merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Khabarnya, kedua-duanya berbalah dalam kes pengubahsuaian rumah dan membawa kes pertelingkahan itu ke mahkamah. Tatkala itu, saya adalah salah seorang yang menggaru kepala yang tidak gatal.

Begitulah masyarakat Islam hari ini -- celaru dan keliru!

Tuesday, November 3, 2009

SAYUTI OMAR : TIADA MOTIF POLITIK!

Blogger Mohd Sayuti Omar (gambar) menemui bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditahan JAIS malam tadi. Beliau pulang membawa satu rumusan -- "tiada motif politik." Sayuti menulis:
"Mengenai tanggapan kononnya serbuan dan penangkapan Dr Asri ada motif politik, saya tidak nampak ini satu kebenaran. Selepas memerhati dan mendengar ulasan dari berbagai pihak menjelaskan kejadian yang berlaku itu tidak ada motif politik. Apa yang terjadi adalah suara-suara di kejauhan cuba mentafsirkan kejadian itu sebagai bermotif politik. Baik UMNO, PAS atau PKR tidak jelas kepada saya kalau mereka ada saham disebaliknya. Saya juga tidak terfikir kalau JAIS dipergunakan untuk mencapai matlamat politik. Jahil murakablah mereka yang melakukan demikian."
Klik di sini untuk membaca tulisannya bertajuk "TIDAK ADA MOTIF POLITIK."

Terdahulu, saya menulis "KONSPIRASI DR ASRI ZAINUL ABIDIN DAN JAIS".

*** Sila tinggalkan komen anda mengenai isu ini di tulisan tersebut agar semua komen mengenai isu yang sama dibuat di satu tempat saja.

KONSPIRASI DR ASRI ZAINUL ABIDIN DAN JAIS

Saya membaca pelbagai komentar mengenai penahanan Dr Asri Zainul Abidin. Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak berkata ia adalah urusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan pusat. Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kata beliau yakin JAIS akan menjalankan tugasnya dengan profesional.

Bagaimanapun, masyarakat kita yang gemar dengan teori konspirasi tidak berhenti setakat itu. Ada yang mengatakan "tangan ghaib" di belakang penahanan ini ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ada yang kata ia adalah perbuatan Dato' Dr Hassan Ali. Pelbagai teori konspirasi. Tak cukup setakat itu, ada pula yang berkata ia didalangi UMNO. Ada juga yang menuduh PAS dan PKR sebagai dalang.

Begitulah teori konspirasi. Hebat!

Mengapa tidak kita melihat ini sebagai satu tindakan pegawai JAIS yang tidak ada kena mengena dengan politik atau orang politik? Adakah kita sudah menjadi masyarakat "politikmania" sehingga segala-galanya mesti dikaitkan dengan politik?

Saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa JAIS menerima aduan dari publik mengenai Dr Asri yang dikatakan mengajar tanpa tauliah. Berdasarkan aduan itu, pegawai JAIS mengambil tindakan.

Kesilapan pegawai JAIS di sini ialah pertimbangan. Sepatutnya pegawai JAIS memberikan pertimbangan bahawa Dr Asri adalah seorang bekas Mufti dan sekiranya ada aduan sedemikian, sebaik-baiknya pegawai JAIS menjemput beliau untuk berbincang.

Tentulah ada cara yang lebih baik dan berhemah daripada menyerbu di tengah malam dan menahan beliau yang merupakan tokoh awam. Apabila sesuatu tindakan dibuat tanpa pertimbangan, maka ia telah menimbulkan polemik yang tidak perlu dalam masyarakat. Akhir sekali, umat Islam menghabiskan banyak masa berbalah soal-soal yang sebenarnya boleh dielakkan.

Saya tidak percaya kepada pelbagai teori konspirasi sama ada melibatkan parti atau pemimpin politik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Ia adalah isu kepegawaian yang harus diselesaikan pada peringkat pegawai.

Sekiranya tidak, saya bimbang umat Islam menjadi bahan ketawa orang lain!